Kisah di Kampung Banjar – 6

Aku sudah menyaksikan bagaimana pakcik Osman melancarkan ‘peluru berpandu’ (tuju-tuju) tepat ke sasaran sehingga mangsa yang sedang lena dibuai mimpi langsung tak bangun – menemui ajal serta merta. Aku juga sudah melihat sendiri bagaimana sehelai daun yang dimasukkan ke dalam kocek baju bertukar kepada duit kertas sepuluh ringgit. Aku dan ramai lagi penonton di tepi padang bola petang itu juga sudah tahu bagaimana kehebatan pakcik Osman mengawal bola secara remote dari belakang tiang gol sehingga gawang pasukan ‘underdog’ kampung kami tidak boleh dibolosi. Dan aku pun sudah lali melihat sessi mengubat yang menggunakan pisau belati, pinggan ceramic putih tanpa corak dan limau nipis.

Malah, aku juga sering melihat dia memasukkan susuk – emas atau berlian – kebahagian tertentu di muka mereka yang berhajat, termasuklah segala pantang larang yang mesti dipatuhi untuk kelihatan sentiasa cantik.

Kebolehan makhluk ghaib menyelinap masuk ke dalam jasad tuan kadi hanya ku dengar dari keluarga yang pergi ke pejabat kadi Keluang pagi itu.

Sudah lebih setahun Diang, saudara tua berusia 17 tahun berulang alik ke pejabat kadi meminta fasah dari suaminya. Namun, seperti juga keadaan mahkamah syariah hari ini, kes semudah itu sering tertangguh. Bukan sahaja keadaan gantung tak bertali yang membimbangkan, tapi ekonomi juga turut terjejas. Betapa tidak, setiap kali hadir ke pejabat kadi, pokok getah tidak bertoreh. Kepada keluarga yang “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, bila tak dapat menoreh bermakna tak adalah pendapatan.

Pagi itu, pakcik Osman menawarkan diri untuk turut sama ke pejabat kadi. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Begitu gembira mereka kerana manalah tahu dengan kehadirannya, sikap tuan kadi boleh berubah.

Tanpa di duga, bukan sahaja sikap kadi berubah, malah raut wajahnya pada hari itu sungguh berbeza dari hari biasa. Wajahnya kelihatan serius dengan mata kuyu persis raut muka pakcik Osman ketika menurun. Dengan suara garau dan dalam, seolah-olah keluar dari halkum, dia memberi keputusan yang menggembirakan…jatuh talaq satu.

Namun, kegembiraan keluarga tidak kekal lama.

Walaupun sebelah punggung pakcik Osman sudah B.E.R. (Beyond Economical Repair) sehingga gulungan kapas sebesar bantal peluk bayi yang diguna untuk menampal kudis (nanah) hanya tahan dua hari, tapi itu tidak menghalang dia memasang angan-angan untuk beristeri lagi. Keluarga perasan dengan perubahan pakcik Osman, dan Diang yang sudah bergelar janda.

Tengah hari itu, salah seorang ahli keluarga kami menasihati pakcik Osman. Namun nasihat yang diberikan tidak meninggalkan kesan. Kami tidak menyangka kiranya kemenyan yang dibakar, dan limau nipis yang dibelah dengan pisau belati di atas pinggan putih  membawa erti dan perubahan besar.

Setiap hari Sabtu, puan Rogayah Sulung datang ke kampung memberi bimbingan mengaji Quran. Sebagai johan Qariah peringkat kebangsaan tahun 1961, kehadiran puan Rogayah untuk menurunkan ilmu al Quran dikampung kami mendapat sambutan. Maka ramailah wanita kampung berkumpul di rumah cikgu Redzuan sambil mendengar dan belajar cara mengaji yang betul.

Seperti biasa, petang itu Diang menunggang basikal hampir dua batu ke rumah cikgu Redzuan, tempat puan Rogayah mengajar. Selang tidak berapa lama, pakcik Osman juga keluar. Tidak seorang pun perasan sama ada dia naik bas atau teksi prebet sapu.

Lazimnya, Jam 5 petang atau lebih sedikit, sessi mengaji berakhir dan Diang akan sampai ke rumah sebelum pukul enam.

Petang semakin larut dan tak lama lagi senja pula akan berlabuh. Namun, kelibat Diang masih belum kelihatan. Kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, aku dan sepupu lelaki pergi menjejak ke rumah Cikgu Redzuan. Kami terkejut bila diberitahu bahawa Diang tidak menyertai kelas mengaji petang itu.

Setelah putus ikhtiar, kami pergi ke rumah pakcik Samlan yang terletak kira-kira suku batu dari situ. Lama dia termenung, matanya pejam celik dan mulut kumat kamit membaca sesuatu. Akhirnya dia berjanji akan datang ke rumah esok pagi.

This entry was posted in Kenangan di Kampung Banjar. Bookmark the permalink.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.