Kisah di Kampung Banjar – 15

Kata orang  bahari, kalau menuntut dan mengamalkan sesuatu ilmu, lambat laun pengamalnya akan berhadapan dengan ujian.

Makanya pepatah Banjar “Amun kada wani tajun ka banyu, jangan bisa-bisa manimbai lunta” atau dalam Bahasa Melayu, “Kalau takut terjun ke air, jangan memandai-mandai menibar jala” ada kebenarannya.

Orang belajar ilmu penawar membuang bisa ular umpamanya, lambat laun akan diuji dengan patukan ular berbisa. Begitu juga mereka yang belajar langkah silat harimau, kalau tidak diuji dengan terkaman harimau buas, maka bersedialah dengan ujian dari harimau jadian.

Makcik Mardiah tak pernah belajar apa-apa. Segala ilmu diperolehinya menerusi mimpi. Namun, dia juga tidak dapat mengelak dari menghadapi ujian.

Apakah jenis ujian yang terpaksa dihadapi Makcik Mardiah?

Mengimbas kembali Cerita di Kampung Banjar siri 10, Makcik Mardiah telah diuji dan selamat dari percubaan pertama untuk menamatkan riwayatnya dengan perantaraan apa yang dipanggil tuju-tuju.

Tuju-tuju adalah senjata orang Melayu (Banjar) yang dihantar melalui perantaraan  makhluk halus. Ianya masuk ke dalam jasad untuk merobek jantung mereka yang dijadikan mangsa. Kesannya tidak ubah seperti orang kena serangan jantung.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Setelah Rumiah selamat disemadikan bersama bayi dalam kandungan, dendam dua orang abang ‘saudara anjing’ atau ‘abang sama ibu lain bapa’ Rumiah masih membara. Mereka masih belum mengaku kalah, dan kalau boleh ingin mengirim Makcik Mardiah ke alam baqa secepat mungkin.

Mereka arif tentang kekentalan pendinding bakal mangsa. Kalau setakat tuju-tuju ala exocet – surface to surface – dengan menggunakan perantaraan jin bernama ‘Bajang’ atau ‘Sang Kelana Dewata’, buang masa saja. Terbukti sudah apabila serangan pertama meragut nyawa adik mereka sendiri. Maka itu, mereka mencuba kaedah alternatif.

Kejadian yang berlaku malam itu disaksikan oleh jiran Makcik Mardiah, seorang lelaki Cina yang menternak ayam di tanah bersebelahan. (Hari ini ternakan ayam sudah bertukar kepada tanaman buah naga).

Nama lelaki Cina itu aku kurang pasti, tapi untuk memudahkan cerita biarlah aku namakan dia Ah Sau.

Sekitar jam 12 malam, Ah Sau yang masih belum tidur terdengar bunyi bising di atas bumbung rumah jirannya. Bila dia keluar rumah untuk mencari punca, dia terlihat kilauan cahaya di atas bumbung rumah Makcik Mardiah. Mulanya dia menyangka sinaran itu berpunca dari lantunan cahaya bulan. Tapi semakin lama dia memerhati, semakin yakin bahawa cahaya yang bergerak pantas itu keluar dari jasad yang menyerupai seorang wanita.

Tanpa disedarinya, malam itu dia menyaksikan pertarungan antara hidup dan mati dua makhluk ghaib yang mewakili dua orang makhluk bergelar manusia – pertarungan antara seekor ular bisa (jelmaan) dan seorang wanita (juga jelmaan). Dalam keterpegunan menyaksikan kehebatan ilmu mistik orang Melayu (Banjar), Ah Sau khuatir tentang keselamatan penghuni yang berada di bawah bumbung rumah itu.

Sebagai jiran yang baik, (hubungan antara kaum di kampung kami memang akrab), nalurinya memang ingin membantu, tapi apakan daya dia sendiri pun tidak berupaya.

Di dalam rumah, Makcik dan anak lelakinya Tukachil (bukan nama betul) tidak putus-putus berzikir (atau membaca mantra – wallahualam). Tak berapa lama selepas itu, keadaan kembali sepi, ular (tak tau apa jenisnya) hilang, dan wanita itu juga hilang dari pandangan bersama hilangnya cahaya.

Dari mana datangnya ular dan siapa wanita itu?

Difahamkan, ular tersebut adalah jelmaan makhluk halus atau makhluk suruhan yang menyedari bahawa ia tak akan dapat memecah ‘benteng’ rumah Makcik Mardiah. Satu-satunya jalan untuk menembusi ‘pagar’ ialah dengan menjalar masuk dari ruang rabung di atas bumbung. Perempuan dalam bentuk cahaya itu pula ialah ‘body guard’ Makcik Mardiah yang akur menurut perintah, yang boleh menjelma dalam sekelip mata untuk mempertahankan ‘bos’ nya.

Malam itu Ah Sau tak lena tidur memikirkan keselamatan Makcik Mardiah dan Tukachil. Sudah berpuluh tahun mereka berjiran dan mengerti benar hati budi masing-masing. Pagi esoknya dia berkunjung ke rumah Makcik Mardiah dan merasa lega melihat jirannya masih bernyawa. Ah Sau menceritakan kepada Makcik Mardiah dan Tukachil tentang kejadian yang dilihatnya di atas bumbung.

Beberap hari selepas itu, Tukachil dapat berita tentang kematian mengejut salah seorang abang ‘sebapa lain ibu’ kepada Rumiah.

Setelah dua kali usaha untuk menamatkan riwayat Makcik Mardiah menemui kegagalan, maka abang Rumiah terpaksa akur dengan ketentuan.

Sejak kejadian itu, sudah 3 kali Makcik Mardiah menjadi tetamu Allah di Mekah. Kalau dulu dia sering didatangi penduduk kampung untuk meminta bantuan mengubat penyakit, hari ini orang berkunjung ke rumahnya bukan untuk berubat, tapi sebagai menghormati salah seorang senior citizen di Kampung Seri Lalang.

Makcik Mardiah, anak kepada Naib Hasan (arwah) yang kini berusia 84 tahun adalah adik kepada ibu (arwah) Admin UPBB. Walaupun kudrat semakin berkurangan namun memori, pendengaran dan penglihatannya hampir sempurna.

Bulan Syawal yang akan bertamu tidak berapa lama lagi, Utuh Paloi akan duduk bersimpuh menyusun jari sepuluh memohon keredaan dan kemaafan seperti yang dilakukan setiap kali berkunjung ke rumah Makcik Mardiah. Insyaallah

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | 3 Comments

Kisah di Kampung Banjar – 14

Berakhirnya peperiksaan Senior Cambridge bermakna berakhir jugalah rutin mengulangkaji pelajaran dan ‘burning the midnight oil’, menghidu asap pelita minyak tanah setiap malam.

Setelah dapat lesen kebebasan, aku mula berjinak-jinak dengan kelompok anak muda yang selalu berkumpul waktu petang di depan masjid simpang tiga di kampung.

Suatu malam, selepas solat Isya di masjid, Japri, Jumri, Yahya dan aku tidak terus balik ke rumah. Kami sembang-sembang di kaki lima masjid. Tak lama lepas itu, hujan turun dan kami mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah. Malam itu kami ‘iktikaf di masjid’ dan menggunakan gulungan tikar sebagai bantal.

Esok pagi, selesai solat subuh dan sebelum sempat kami beredar untuk balik ke rumah masing-masing, muncul Hj Basri memaklumkan anaknya yang berusia sekitar 4 tahun meninggal dan meminta kami menyampaikannya kepada penggali kubur.

Memandangkan pagi itu tak boleh menoreh kerana pokok getah basah, kami berempat berpakat untuk mencuba profession baru sebagai penggali kubur.

Setelah kembali ke rumah untuk menukar pakaian, kami memulakan kerja penggalian di belakang masjid. Teruk juga mengorek lubang tanah batu merah yang lembab setelah disiram hujan malam itu.

Sambil menggali, kami menguji kecekapan mengelak dengan menggunakan tanah kubur sebagai bahan balingan. Aku mengambil sekepal tanah lalu membaling ke arah Yahya yang tak sempat mengelak. Tanah yang ku balingkan terkena ‘landau’ (betis) Yahya. Begitulah gelagat kami hingga tak sedar kerja dah siap. (Sedang menukil kisah ini, aku terbayang keceriaan waktu itu).

Setelah selesai pengkebumian anak Hj Basri, kami kembali ke rumah masing-masing.

Esok petang Yahya tak muncul untuk ‘bapandiran’ (berborak) di simpang tiga dan juga di masjid. Lusa pun sama. Kami bertanya sesama sendiri dan setelah tidak seorang pun tahu punca, kami bertandang ke rumahnya yang hanya sepelaung jauhnya dari masjid.

Terperanjat bila melihat dia menyambut kehadiran kami dengan kaki terdencut-dencut. Dia memberitahu tentang kesakitan di betis, tepat pada tempat di mana tanah kubur yang ku balingkan pagi itu hinggap

Seminggu berlalu, dan sudah berkali-kali di bawa berurut, namun sakit di betis tak juga hilang. Malah, kulitnya sudah bertukar kemerah-merahan macam nak jadi kudis.

Zaman dulu, ubat paling mujarab mengubat kudis ialah MB, sejenis tablet warna putih  macam panadol yang dihancurkan, dicampur air dan disapu pada kudis ataupun luka. Tapi kudis di kaki Yahya tidak menampakkan tanda akan kering. Ubat klinik dan hospital juga tidak membawa perubahan.

Minggu berlalu dan bulan berganti namun kudis di kaki tak juga sembuh. Akhirnya kami mencadangkan dia berjumpa dan meminta air penawar dari Hj Salleh (Arab Yemen) di Air Hitam.

Seperti kebiasaan, Hj Salleh akan sembahyang hajat dua rakaat sebelum membuka kitab untuk mencari panduan.

Menurut Hj Salleh, tanah yang ku baling dan terkena betis Yahya bukannya tanah biasa tapi ada kaitan dengan makhluk dari alam ghaib.

“Tak apa, Insyaallah boleh baik.” Hj Salleh memberi keyakinan dalam loghat Arab yang masih pekat. Dia membekalkan sebotol air yang sudah di jampi dan meminta Yahya minum serta menitikkan air itu di atas dan keliling kudis di betisnya.

Lebih kurang seminggu selepas meminum air penawar Hj Salleh, kudis yang sudah enam bulan bersarang di betis Yahya jadi kering macam silap mata. (Kudis di betis Yahya hampir serupa dengan kudis di punggung Pakcik Osman, bomoh yang memelihara makhluk halus, yang mana Hj Salleh pernah menawarkan perubatan kepada Pakcik Osman “Insyaallah, saya boleh sembuhkan kalau kiayi sanggup tinggalkan amalan…”). Kisah di Kampung Banjar – 2

Selang tak berapa lama, aku ‘minggat’ meninggalkan kampung untuk berkhidmat dengan RMN. Yahya…pemuda yang 5 tahun lebih tua dariku adalah kawan yang memberi aku keyakinan atau petua merungkai kekusutan, ‘tanda-tangani sendiri borang izin’ seperti dalam nukilan Menyusur Denai Ingatan – prolog

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | Leave a comment

Kisah di Kampung Banjar – 13

Sebidang tanah pusaka seluas lima ekar di hujung kampung memang keras. Di hadapan dan di kiri juga keras. Mengikut cerita orang bahari, tapak tempat rumah itu di dirikan adalah laluan makhluk halus.

Di atas tanah inilah, bapa tiri dan ibuku mendirikan rumah sekali gus mengakhiri tabiat berpindah randah, menemui ketenangan dan menutup babak kehidupan di alam fana.

Di seberang jalan, berhadapan tanah kami ialah kebun getah (atau lebih tepat dipanggil belukar getah) milik anak bulan. Anak bulan?

Ia memang anak bulan sebab itulah setiap mejelang Ramadhan dan Syawal, kami tak perlu bersusah payah pergi ke Teluk Kemang, Bukit Melawati dan puluhan tempat lagi. Kami cuma perlu melawat kampung sebelah untuk bertemu dan melihat anak bulan bernyawa. Nama pemilik tanah di hadapan rumah kami ialah Atikah binti Bulan (nama orang Banjar zaman dulu pelik-pelik belaka).

Di atas tanah  mak ngah Atikah – berhampiran kawan rezab jalan – tumbuh sebatang pohon ramunia yang rendang dan serumpun buluh betung.

Dari celah-celah rimbunan daun ramunia, bapa tiriku selalu mendengar suara orang memanggil namanya apabila dia lalu untuk balik ke rumah pada waktu malam. Namun bila dia berhenti dan memandang ke pohon itu, suara itu juga turut berhenti.

Itu cerita tentang pengalaman bapa tiriku. Cerita mak ngah, jiran selang 4 bidang tanah tidak kurang anehnya.

Seperti kebanyakan orang kampung, pergi menoreh ketika orang di bandar masih lena dibuai mimpi sudah menjadi lumrah. Malah, sebelum aku meninggalkan kampung ketika berusia 19 tahun, aku juga sering bangun jam 3 pagi, memasang pelita minyak tanah di dahi dan berbekalkan sebilah pisau getah pergi menoreh di ‘kebun belukar’. Tapi, mujurlah masa itu aku tidak pernah mengalami kejadian menakutkan.

Pada suatu dinihari, dalam perjalanan ke tempat torehan, mak ngah terlihat sepasang lampu menghalang laluannya. Dia menyangka ada kereta di situ. Lama dia menunggu kiranya kereta itu akan datang ke arahnya untuk keluar ke jalan raya. Namun, setelah lama ditunggu, lampu kereta itu tidak juga bergerak.

“Kanapa lah, rusak saku matukah tu?” fikirnya.

Oleh kerana sudah agak lama menunggu, dia pun meneruskan langkah dengan tujuan akan lalu di sebelah kereta untuk terus pergi ke tempat torehan.

“Lah, kamana tulaknya matukah tadi?” dia bertanya kehairanan. Macam mana tak hairan, kereta pun tak ada dan lampu juga hilang bila dia sampai di kawasan itu.

Pada tahun 1992, setelah hampir tiga tahun bapa tiriku meninggal dunia, mak ngah pernah terserempak seorang lelaki sedang ‘manyahan’ (memikul) bakul di belakang melintas jalan di sekitar kawasan yang sama. Dari perawakan orang itu, mak ngah menyangka bapa tiriku sedang lalu, lantas dia menegur, namun lelaki itu ghaib di sebalik pohon getah.

“Eh, Abu lawas hudah kada ada?” dia membebel seorang diri.

Itu pengalaman yang mak ngah ceritakan semasa ibu, aku dan anakku yang masih kecil menziarahinya di Hari Raya tahun 1992.

Pada tahun 1974, semasa sedang bercuti di kampung, aku juga pernah mengalami kejadian menyeramkan.

Malam itu, aku baru sahaja hendak melelapkan mata, tiba-tiba muncul sebuah lembaga hitam berbadan besar meyelak langsir pintu bilik. Tergamam sekejap apabila lembaga itu terus masuk dan menyelak pintu kelambu, dan cuba menghempapku. Mujurlah aku masih boleh menjerit. Malam itu aku tidur di dapur ditemani ibu.

Esok hari, ibu saudara yang tahu serba sedikit tentang siluk biluk dunia ghaib, datang memberi bantuan. Sebelum maghrib, dia menyuruh aku mencurahkan air yang sudah dijampi keliling luar rumah sebagai pendinding.

Setelah mendirikan rumahtangga pada tahun 1977, isteriku juga pernah mengalami kejadian aneh.

Seperti biasa, apabila balik ke kampung, ibu membentangkan tilam, menggantung kelambu, dan kami tidur di ruang terbuka. Subuh itu, apabila isteriku terjaga dari tidur, dia tercium bau hancing yang kuat. Dia hairan bagaimana sehelai kain batik yang basah dengan air kencing boleh berada di hujung kepala. Siang itu kami tidak menceritakan pada ibu. Namun, apabila kejadian serupa berulang lagi pada malam berikutnya, aku pun membuka cerita.

“Oh, itu biasa” jawab ibu. Rupanya, dia juga pernah mengalami kejadian serupa. Katanya, orang halus (makhluk ghaib) marah kerana rumah kami menghalang laluan maka itu mereka sering mengganggu.

Menjelang Hari Raya Puasa tahun 1991, aku membawa isteri dan anak-anak balik ke kampung sehari sebelum raya. Malam itu, setelah maghrib aku membuka jendela di dapur kerana telah berjanji dengan anak-anak akan turun ke tanah selepas Isya untuk menemankan mereka bermain mercun dan bunga api. (Masa itu mercun dan bunga api belum diharamkan).

Sedang termangu di jendela mengimbau kenangan masa remaja, tiba-tiba aku terlihat segumpal bebola api sebesar dulang marak menyala di puncak rumpun buluh betung di seberang jalan.

“Isy, tak kan rumpun buluh tu terbakar” bisik hatiku dalam kehairanan.

Untuk beberapa saat aku merenung dan berfikir “Mana ada orang main bunga api di kawasan semak?” Setelah menyedari ia bukan bunga api buatan manusia, spontan mulutku kumat kamit membaca ayat kursi. Apabila bacaan hampir ke penghujung, dengan tiba-tiba bunga api di atas puncak rumpun buluh itu hilang dari pandangan. Tanpa membuang masa, aku menutup tingkap dan membatalkan hasrat untuk turun ke tanah menemankan anak-anak bermain mercun dan bunga api.

“Malam ini kita cancel main mercun dan bunga api”. Aku membuat pengumuman kepada anak-anak yang menyambutnya dengan wajah hampa. Dan aku tidak memberitahu punca pembatalan kerana khuatir mereka jadi takut.

Setelah ibu meninggal dunia pada tahun 1992, rumah itu sempat di diami keluarga pendatang dari seberang tapi belum pun cukup sebulan, mereka sudah berpindah. Kata orang Jawa “Tak kerasan”. Atau mereka tak tahan dengan gangguan makhluk halus @ orang bunian?

Hari ini, pohon ramunia, rumpun buluh dan rumah usang itu sudah tiada. Yang tinggal hanyalah kenangan untuk dikongsi dan diceritakan di blog ini.

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | Leave a comment

Kisah di Kampung Banjar – 12

Bapa saudara Ijam (Kisah di Kampung Banjar – 11) – ayah tiri yang ku panggil abah – meninggal dunia ketika berusia 65 tahun kerana menghidap penyakit barah paru-paru. Pada hujung tahun 1988, aku membawanya ke HKL untuk pemeriksaan. Setelah membuat ‘biopsi’ dan X-ray, doktor merumuskan sebelah paru-parunya sudah tidak boleh dirawat (collapse) dan sebelah lagi sedang menuju tahap kritikal.

Memandangkan peluang pulih menerusi perubatan modern amat nipis, aku membawa dia bertemu Haji Salleh (padamnya sebuah pelita). Setelah solat hajat dan membuka kitabnya, dia berpendapat peluang untuk pulih masih terbuka.

“Insyaallah, Ami boleh tolong…” dengan lidah Arabnya yang pekat, dia memberi harapan baru.

Dua minggu selepas menerima rawatan Hj Salleh – minum air jampi – selera makan abah terbuka dan batuknya berkurangan. Sebulan selepas itu, badannya yang kurus sudah mula berisi.

Mungkin suratan atau dugaan, seorang bomoh datang melawat.  Pada mulanya aku tak percaya kawan yang suatu masa dulu pernah sama-sama pergi memancing di sungai-sungai berhampiran sudah bertukar ‘profession’ – dari seorang penoreh getah kepada bomoh.

Dia datang ke rumah memberi rawatan. Aku difahamkan dari ibu, cara dia mengubat tidak jauh berbeza dengan cara yang diamalkan oleh pakcik Osman. Dia membakar kemenyan sebelum memulakan rawatan.

Sebagai permulaan, abah diminta menghabiskan sekole air yang sudah diasap kemenyankan. Tidak lama selepas itu, dia muntah mengeluarkan lendir yang antaranya mengandungi rambut dan serpihan kaca.

“Kena santau ni” ujar bomoh dengan yakin. Abah pun percaya tanpa ragu-ragu. Malah, dia juga percaya sepenuhnya kata-kata bomoh yang memaklumkan bahawa sepasang kelenjar yang membengkak di sebelah kiri dan kanan pangkal leher adalah dua biji telur yang dikepit oleh dua makhluk halus dari kalangan jin.

Walaupun ku minta agar dia jangan percaya dengan diagnosis bomoh dan kembali meminum air penawar Haji Salleh, namun abah memilih untuk lebih percaya kepada telahan bomoh. Mengikut perubatan modern, kelenjar yang membengkak di pangkal leher adalah petunjuk bahawa kansernya sudah sampai ke tahap kritikal.

Kali terakhir aku balik ke kampung sebelum dia dijemput Ilahi, kepalanya bertanjak macam orang Red Indian, ibu jari kaki dililit dengan kain kuning dan kuku disapu inai. Dia sudah tidak boleh baring, malah tidurnya juga dalam keadaan duduk.

Memandangkan dia semakin jauh disesatkan oleh kepercayaan karut, aku meminta jemaah surau di tempat aku bermastautin membaca yasin dengan dua permintaan. Kalau harapan untuk sembuh sudah tertutup, jangan biarkan dia terus hanyut, dan disesatkan lebih jauh oleh bomoh.

Kira-kira jam 3 petang, hari Selasa 6hb Jun 1989, aku mendapat panggilan dari anak saudara di kampung, “Atuk dah tak ada”. Allah telah memakbulkan permohonan yang dibuat menerusi bacaan yassin 5 malam sebelum itu.

Pada malam tahlil itulah baru aku tahu bahawa Bahasa Banjar di kampungku telah lama berkubur. Bila aku berbual dengan ketua kampung, ramai yang terlopong mulut. Ada pula yang bertanya bahasa apa yang aku gunakan. “Itulah Bahasa Banjar tulen” ketua kampung menjelaskan. Aku terpaksa menerima hakikat pahit…orang Banjar di kampung telah menyemadikan bahasa yang di import dari Pulau Kalimantan dan digunakan ibu bapa untuk membesarkan mereka.

Semasa hayatnya, abah seorang yang tak pernah menunjukkan perasaan takut. Dia sanggup merayau seorang diri sepanjang malam, jauh ke dalam hutan. Setiap kali pergi berburu, dia akan balik membawa dua atau tiga ekor napuh dan pelanduk. Pernah sekali dia keluar berburu dengan seorang kawan dan membawa balik sembilan ekor.

Masa berburu, dia kerap diganggu ‘langsiak’, sejenis hantu yang terbang dari pokok ke pokok. Menurutnya, hantu jenis ini cukup takut dengan bunyi tembakan dan akan berhenti menggangu apabila ditembak. Keunikan hantu jenis ini ialah dia tahu nama orang yang diganggunya dan akan memanggil nama orang itu berulang kali.

Abah juga suka berjalan malam.

Di kampung kami, ada sebatang sungai mati merintangi jalan raya. Pada suatu malam, sedang abah melalui kawasan itu, dia terserempak seorang lelaki berjubah memegang pelita melintas jalan. Dia menyangka orang itu adalah bilal kampung bernama Haji Taha lalu menegur. Namun, orang itu tidak menjawab. Sebaliknya, ‘Pak Haji’ menonong masuk ke dalam sungai yang semak samun.

Esoknya, dia menceritakan apa yang dilihat kepada kawan-kawan. Rupanya bukan dia seorang sahaja yang pernah terserempak dengan lembaga itu. Malah, ada kawannya yang terlajak mengayuh basikal hingga terlepas simpang ke rumah sendiri kerana terlalu takut. Ada orang mengatakan lembaga itu ialah “Haji Gaduk” penunggu kawasan sekitar.

Bapa tiriku berkahwin dengan ibu pada bulan Ogos tahun 1946, ketika itu aku baru berusia lapan bulan dan baru empat bulan bergelar anak yatim. Kelemahan atau kegemaran bapa tiriku suka berpindah randah. Sepanjang berkahwin dengan ibu selama 43 tahun, dan yang masih boleh ku ingat, tidak kurang 14 kali dia berpindah. Salah sebuah rumah yang kami huni ialah milik Haji Salleh yang baru dibeli, dengan kebun getah seluas lima ekar, dari seorang warga Banjar. Di pelantar rumah inilah aku pernah melihat kaki kayu pakcik Hamdan serta mendengar cerita bagaimana dia yang sudah cedera di kaki berpura-pura mati untuk mengelak dari di ‘bayonet’ oleh kominis seperti yang dialami rakan-rakan sama platun. “Chin Peng – Forgive and Forget”.

Rumah papan ini memang cantik dengan ukiran tersendiri. Dalam tak sampai setahun kami menghuninya, bermacam kejadian aneh berlaku. Antaranya, selalu mendengar air dicurahkan ke “pacirinan” walaupun tidak ada orang di situ, atau dilain ketika mendengar suara orang “garunuman bapandir” – bunyi suara orang berbual.

Tapi yang paling kekal dalam kenangan – dua kali talak gugur di rumah ini. Mujurlah abah dan ibu rujuk kembali sebelum tamat edah.

Suatu hari, saudara sebelah ibu, abang Hasan (bekas anggota jungle squad) tumpang bermalam. Mungkin kerana sudah biasa keluar masuk hutan memburu komunis, cakapnya pun berdegar-degar. Malam itu dia tidur di anjung rumah. Esok pagi apabila terjaga kedinginan, badannya lembab dan sejuk berembun. Dia tidak sedar bila penunggu rumah itu memindahkannya ke halaman.

Sebenarnya bukan aku tak mahu menulis cerita dari pengalaman orang-orang terdekat ataupun diri sendiri, tapi setiap kali aku teringat kejadian seperti itu, ‘marinjing bulu awak’ atau ‘meremang bulu roma’.

Dilain episod, aku akan ceritakan tentang bapaku sebenar seperti yang dikisahkan oleh Haji Taha semasa pendudukan Jepun

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | Leave a comment

Kisah di Kampung Banjar – 11

Orang Banjar memang kaya dengan kepercayaan dan pantang larang (pamali).  Dalam Surahan Banjar 5, aku ada menceritakan sebahagian kecil pantang larang itu.

Antaranya:

Duduk termenung (baungutan) di atas bendul (watun) boleh mengundang petaka – ‘ditinjak mintuha’ atau diterajang mertua.

Bersiul (batinghui) dalam rumah akan mengundang ular masuk ke dalam.

Kalau tidur berkawan, elakkan tidur di tengah kerana boleh menjadi mangsa kucupan  hantu (kuyang). Kekadang, bila bangun tidur ada kesan lebam di bahagian badan, biasanya di peha, nenek memberi rumusan “Dikucup kuyang hudah tuh”.

Orang zaman dulu bila makan mereka duduk bersila. Ketika makan, anak-anak ditegah mengangkat pinggan nasi dari lantai. “Hakun baranak tirilah” tanya ibu. Atau dalam Bahasa Melayu, “Sanggup beranak tiri ke?” Kalau boleh, semua ingin berkahwin dengan anak dara atau teruna dan bukan janda atau duda yang sudah mempunyai anak.

Masa ibu sedang menggoreng pisang atau cekodok, anak-anak ditegah memakan sebelum habis menggoreng…“Minyak lakas una” kata ibu. Atau “Minyak cepat susut”.

Baring selepas makan juga dilarang. “Handak kana panyakit abuh nih” sergah ibu.

“Penyakit abuh tu apa mak?” aku bertanya. “Parut ganal kaya urang batianan” Jawab ibu meyakinkan. Atau “Perut besar macam orang mengandung”.  Betul juga kan? Makan-tidur bukan sahaja mengundang penyakit tapi boleh merosakkan ekonomi kerana malas bekerja.

Kebanyakan pantang larang orang Banjar mempunyai simbolik tersendiri. Ada yang logik tapi ada pula yang sebaliknya. Pun begitu, tujuannya hanya satu…mendidik anak-anak dengan cara yang mereka pusakai turun temurun.

Apabila hari hampir senja, anak-anak ditegah bermain di luar rumah dengan alasan “Kaina disambunyiakan kuyang” atau “Nanti disembunyikan hantu”.

Percaya atau tidak, ayat “nanti disembunyikan hantu” menjadi kenyataan. Kejadian ini berlaku lewat dekad lima puluhan di kampung tempat aku dilahir dan dibesarkan.

Ijam, anak perempuan sulung Angah Jumrah berusia sekitar dua belas tahun. Lewat petang itu, dia bermain sorok-sorok dengan adik-adiknya.

Angah Jumrah balu beranak tujuh baru sahaja kematian suami. Anak bungsunya belum pun berusia setahun ketika bapanya meninggal dunia di langgar dan diseret (di ranjah awan dibair) bas berhampiran masjid di kampung kami.

Bila masuk waktu maghrib, barulah Angah Jumrah sedar anak sulungnya tak ada di rumah. Adik-adik yang masih kecil menyangka kakak mereka masih lagi menyorok. Puas memanggil dan mencari di dalam dan di luar rumah, tapi Ijam tidak juga ditemui. Angah Jumrah yang sudah mula merasa cemas bergegas mencari ke rumah kakanya, angah Diah dan bapanya atuk Amri, tapi hampa.

Maghrib semakin hampir ke penghujung, namun Ijam masih belum muncul.

Zaman bahari, apabila ada kejadian yang tidak diingini, ketua kampunglah tempat orang mengadu dan meminta nasihat. Naib ‘patuha’ Usup yang mengganti naib Hassan (Chin Peng – Forgive and Forget) sejak tahun 1945 datang dengan beberapa orang penduduk. Masa itu pun bukan ramai sangat penduduk kampung.

Berbekalkan lampu picit dan pelita menoreh (yang disangkutkan di dahi), orang kampung mula mencari merata tempat termasuklah menyuluh setiap pokok, dari pangkal hinggalah ke dahan dan pucuk. Kelibat Ijam tidak juga kelihatan.

Azan sahut menyahut, cahaya lampu menerangi kampung yang biasanya gelap. Bunyi nyiru, dulang, kuali dan tudung periuk diketuk seperti orang berpesta. Kata nenek, bunyi yang paling ditakuti hantu ialah bunyi nyiru dipalu. Kebiasaannya, bila mendengar bunyi nyiru, makhluk halus yang menyembunyikan manusia akan melepaskan tahanan.

Di rumah, Angah Jumrah tidak berhenti menangis. Pusara masih lagi merah, ingatan kepada suami yang telah pergi masih segar. Dan sekarang berhadapan pula dengan kemungkinan kehilangan seorang lagi insan tersayang.

(Tahun 1956, masa bertugas sebagai Home Guard, dengan menggunakan senapang patah angah Hashim – suami angah Jumrah – pernah menembak mati komunis yang datang untuk menyerang penduduk yang sedang menonton tayangan Malayan Film Unit di penempatan Cina di Batu 5 Kampung Seri Lalang).

Orang kampung masih tidak putus asa mencari. Perigi buta, parit dan belukar sudah berulang kali di redah, namun bayang Ijam tidak juga kelihatan.

Malam sudah hampir ke penghujung. Subuh kian dekat dan ayam jantan semakin kerap berkokok, manakala badan pula bertambah lesu.

Ketika dalam perjalanan pulang untuk solat Subuh, ‘patuha’ Usup terdengar bunyi orang menangis. Perlahan dan halus seperti orang tidak bermaya. “Bunyi hantu ke?” bisik hati kecilnya. Dengan cahaya lampu suluh yang semakin malap, dia menyuluh ke arah suara itu.

‘Patuha’ Usup menemui Ijam dengan baju basah kuyup dan badan berlendir tersandar di tebing parit yang tidak berair.

Hairan dan bingung ‘patuha’ Usup kerana tempat itu sudah berulang kali disuluh dan dilaluinya sepanjang malam. Macam mana dia boleh tak nampak? Ijam yang tidak bermaya dan tidak boleh berkata-kata didukung oleh bapa saudaranya (bapa tiriku) balik ke rumah untuk dimandikan dan ditepung tawar.

Beberapa hari selepas kejadian dan setelah ingatannya beransur pulih, dia menceritakan apa yang terjadi. Ketika sedang menyorok di pangkal pohon cempedak di tepi rumah, dia dihampiri seorang perempuan. Seperti telah dipukau, dia mengikut saja makhluk itu tanpa karenah. Menurutnya, dia melihat dari ‘mahligai’ di atas pokok orang-orang kampung yang  mencarinya namun tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Pun begitu, dia tidak dapat mengingati bagaimana dia naik ke atas pokok dan turun ke bawah untuk berpindah ke dalam parit kering itu.

Kata nenek, lendir di badan Ijam itu adalah air liur ‘kuyang’, hantu perempuan yang mengucupnya sepanjang malam.

Kali terakhir aku bertemu Ijam pada bulan Jun 1989. Hari itu, bapa saudara yang mendukungnya dimalam kejadian dia disembunyikan hantu kembali ke rahmatullah.

Bila dia menegur, aku terpinga-pinga kerana sudah tidak mengenalinya.

“Ni Ijam lah bang, anak Angah Jumrah, kada pinandu lagiah?” dia bertanya ketika memperkenalkan diri. ‘Kada pinandu lagiah?’ bererti ‘tak kenal lagi ke?’. Itulah kali terakhir kami bertemu. Difahamkan, dia kini menetap di daerah Batu Pahat.

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | 1 Comment

Kisah di Kampung Banjar – 10

Apa perbezaan  antara serangan jantung dengan serangan ‘peluru berpandu’ atau tuju-tuju?

Episod 9 cerita di kampung Banjar mengkisahkan derita roh seorang nenek kerana menghidangkan nasi ‘wap’ kepada suami-suaminya yang dilakukan semasa di negeri Banjar. Kali ini aku ingin berkongsi cerita tentang cucunya pula.

Kejadian ini berlaku pada awal tahun 1981.

Rumiah, anak busu Janah berusia awal tiga puluhan dan sedang mengandung tujuh bulan anak ketiga. Entah apa sebabnya, dia lebih mesra dengan ibu saudaraku (makcik Mardiah) dari ibunya sendiri. Di rumah makciklah dia, suami dan dua orang anaknya menghabiskan masa setiap kali balik ke kampung.

Hubungan Rumiah dengan ibunya tidaklah putus cuma sekadar tidak mesra. Dia tetap menjengah di waktu siang tapi sebelum menjelang malam, dia akan kembali ke rumah makcik.

Hari Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti hujung minggu untuk sekolah-sekolah di negeri Johor. Petang Khamis itu, Rumiah yang merupakan seorang pendidik, datang ke rumah makcik bersama suami dan dua orang anak.

Malam itu Rumiah meminta izin dari suami untuk tidur di bilik makcik dan meminta suaminya dan anak tidur di ruang tamu.

Mungkin kerana kepenatan bekerja disiang hari disamping sarat mengandung, sekejap saja Rumiah sudah lena dibuai mimpi. Makcik yang sudah lanjut usia terkebil-kebil seorang diri.

Tepat atau lebih kurang jam 12 malam, makcik terdengar di luar dinding bunyi ‘manggarincing’, kalau dalam bahasa Melayu mungkin boleh diterjemah sebagai bunyi geseran rantai di kaki. Dia bingkas duduk memasang telinga untuk mendengar kiranya bunyi itu berulang.

Walaupun ilmu kebatinan makcik boleh dianggap ampuh, namun sebagai manusia, dia juga ada kelemahan. Sewajarnya, dia boleh mentafsir bunyi yang didengar di luar rumah dan segera mengejutkan orang yang sedang tidur. Tapi apa kan daya, takdir mengatasi segalanya.

Tidak sampai seminit selepas itu, Rumiah ‘bapangsar’ (pergerakan orang yang sedang kesakitan) sambil tercungap-cungap untuk bernafas persis orang terkena serangan jantung. Melihat keadaan Rumiah, makcik mula terfikir, mengaitkan bunyi yang didengar sebentar tadi dengan kejadian yang berlaku di depan mata. Dengan segala ilmu yang ada di dada, dia cuba merawat namun keadaan Rumiah semakin membimbangkan.

Atas arahan makcik, suami Rumiah pergi menjemput ketua kampung (orang yang sama dalam epilog menyusur denai ingatan) meminta bantuan. Bermacam ikhtiar dilakukan Abang Amir, tapi tidak juga berjaya. Sambil tercungap-cungap menarik bernafas, Rumiah minta dimandikan untuk mengurangkan rasa panas. Hampir 4 jam dia bertarung melawan makhluk halus yang sedang merobek jantung tapi akhirnya dia kecundang.

Sebelum masuk waktu Subuh, kedua tapak kakinya sudah mula melurus. Dengan disaksikan dua orang anak yang masih kecil, suami yang penyayang, ketua kampung yang juga bapa saudaranya (pak long) dan makcik Mardiah, dia menghembuskan nafas terakhir dengan membawa bersama bayi dalam kandungan.

Esok pagi, ketika orang kampung datang melawat, muncul dua orang abang Rumiah (sebapa lain ibu). Tanpa memperdulikan orang lain yang sedang menziarah, mereka mengiringkan jasad dan memeriksa bahagian belakang Rumiah. Sambil  berpandangan antara satu sama lain, seorang dari mereka berkata “Takana ading” yang membawa erti “terkena adik”.  Selepas itu, mereka terus pergi tanpa menunggu jenazah si adik disempurnakan.

Difahamkan, kedua-dua abang Rumiah telah mengupah orang melancarkan ‘peluru berpandu’ yang disasarkan kepada makcik Mardiah kerana kononnya makciklah yang menyebabkan hubungan Rumiah dan ibunya menjadi renggang.

Tapi kenapa serangan ‘peluru berpandu’ atau tuju-tuju tersasar?

Senjata pemusnah tuju-tuju tidak memiliki ciri ‘self-destruct’ seperti peluru berpandu buatan orang putih. Ia cuma ada ‘one way ticket’. Kalau orang yang hendak dijadikan mangsa mempunyai pertahanan kental, ia akan mencari mangsa yang terdekat. Kalau tidak ada orang yang boleh dijadikan mangsa di lokasi yang ditetapkan,  ‘peluru berpandu’ atau jin yang jadi perantara akan berpatah balik untuk mencari dan merobek jantung orang yang mengirim.

Pada malam itu, makcik Mardiah ada dua pendinding, atau tiga!

Pendinding pertama, dia masih belum tidur, dan sebab itulah jembalang suruhan tak dapat menjalankan tugas kerana pra-syarat untuk masuk ke dalam jantung hanyalah bila bakal mangsa sedang tidur.

Pendinding kedua, makcik Mardiah sentiasa dilindungi oleh makhluk halus yang aku sendiri tak pasti dari jenis apa.

Dan yang ketiga adalah takdir. Allah telah menunjukkan kepada abang Rumiah bahawa kuasa mutlak untuk menentukan hidup-mati hambaNya bukan terletak di tangan manusia , jin atau jembalang.

Kalau Rumiah masih belum tidur waktu tibanya tuju-tuju (jembalang suruhan) pada malam itu, mungkin juga suami atau anaknya yang jadi mangsa.

Makcik Mardiah, ibu saudaraku masih hidup hingga hari ini dan sudah berusia  lapan puluh tiga tahun.

Jin atau jembalang yang disuruh merobek jantung pada malam itu bukan ‘Sang Kelana Dewata’ seperti yang digunakan oleh pakcik Osman tapi dari spesis bernama ‘Bajang’.

Untuk beberapa hari dan minggu berikutnya, si ‘Bajang’ datang lagi tapi oleh kerana rumah makcik Mardiah sudah di ‘pagar’ rapi, jembalang suruhan terpaksa berpatah balik untuk merobek jantung salah seorang abang arwah Rumiah.

Setelah kehilangan dua orang saudara se ibu/se bapa, barulah abang Rumiah yang seorang lagi sedar tentang balasan yang Allah tunjukkan kepadanya.

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | Leave a comment

Kisah di Kampung Banjar – 9

Beberapa bulan sebelum aku meninggalkan kampung, ada satu kejadian aneh berlaku dan telah pun aku ceritakan dalam Bahasa Banjar “Surahan Banjar 8″.

Keluarga pasangan suami isteri ini belayar dari pulau Kalimantan bersama keluarga nenek sekitar tahun 1932. Di kawasan rumah mereka inilah aku pernah menelan seekor kunang-kunang sebagai penerang hati. (Kepercayaan orang Banjar dan pantang larangnya akan ku ceritakan dilain ketika).

Banjar di kampung kami menggunakan bahasa nenek laki dan nenek bini sebagai gantinama datuk dan nenek. Selang dua atau tiga bulan selepas suami nenek ini meninggal, dia jatuh sakit. Walaupun lama terlantar, namun roh tidak juga mahu berpisah dari jasad.

Suatu hari, nenek meluahkan kebimbangan tentang nasib yang menimpa kawan karibnya yang lebih mesra dengan panggilan nenek ‘juruh’. Nenek bimbang kiranya sesuatu yang tak diingini akan berlaku. Menurut nenek, semasa muda dan masih lagi berada di tanah Banjar, nenek juruh pernah bersuami dua. Disamping mengamalkan ajaran yang salah, dia juga selalu menghidangkan ‘nasi wap’ untuk santapan kedua-dua suaminya.

Entah apa usaha yang dilakukan oleh anak dan cucu nenek juruh, akhirnya berpisah jugalah jasad dengan roh.

Malam itu, apa yang dibimbangkan nenek menjadi kenyataan.

Walaupun jasad sudah berada enam kaki di dalam tanah, namun itu tidak menghalang dia kembali melawat rumah anak-anak dan kenalan di kampung. (Semasa menulis ayat-ayat ini, bulu romaku naik meremang, atau dalam Bahasa Banjar marinjing bulu awak). Mula-mula dia menangis (kata orang Banjar maingui tangis) sebelum mengetuk apa sahaja yang ada di bawah rumah untuk membuat bising. Menggoyang pokok, mengetuk (manggandah) dinding sambil mengeluarkan berbagai bunyi. Nenek yang sudah biasa mengalami kejadian serupa di tempat kelahiran di pulau Kalimantan bersuara “Bajauh ikam lah, kita kada bakulaan” atau dalam Bahasa Melayu “Pergilah engkau kerana kita tidak bersaudara”. Mendengar suara nenek menghalau, nenek juruh ‘maingui tangis’ sambil pergi untuk mengganggu keluarga dan kenalan lain pula.

Begitulah yang dilakukannya setiap malam bermula selepas Maghrib dan berakhir sebelum azan Subuh.

Pada suatu dinihari, ketika Busu Janah, anak bungsu nenek juruh mencapai basikal untuk pergi menoreh di estet berhampiran, dia ternampak kelibat seekor anjing di halaman rumah. Dia tidak menghiraukan kerana anjing itu tidak mengganggunya. Namun begitu, dia hairan kenapa anjing sentiasa berlari di hadapan basikalnya dengan kelajuan yang sama. Dia laju anjing pun laju tapi bila dia perlahan, anjing itu pun perlahan.

“Hairan” bisik hati busu Janah. Selama ini tak pernah ada anjing yang menemaninya.

Jarak antara rumah dengan estet lebih kurang empat batu. Dalam perjalanan pergi, dia melalui sebuah masjid kampung yang terletak di sebelah kiri jalan. Apabila sampai di hadapan masjid, anjing yang sudah lebih sebatu menemaninya membuat kejutan. Sebelum anjing itu membeluk ke kawasan masjid, ia menoleh ke belakang menampakkan wajah. Berderau darah busu Janah kerana apa yang dilihatnya tak pernah diduga, sukar untuk dipercaya. Anjing yang menemaninya dengan berlari di hadapan sejak dari tadi berwajah manusia dan wajah itu amat dikenalinya. Wajah ibunya yang sudah meninggal berada di jasad anjing.

Petang itu, dia menemui nenek dan menceritakan apa yang dilihatnya  sambil meminta pendapat.

Anak Adam yang tidak diterima bumi setelah berpindah dari alam fana ke alam barzakh bukan bererti jasadnya tidak diterima secara fisikal. Dalam konteks ini, roh si mati akan keluar setiap malam selama 100 hari untuk tujuan apa! Aku pun tak tahu. Cuma aku pernah mendengar dari cerita orang bahari, roh itu akan menjelma dengan wajah asal ke dalam jasad haiwan-haiwan tertentu.

Senja itu, sebelum azan maghrib, dan dengan berbekalkan dua biji botol kaca, abang Jumri, cucu lelaki nenek juruh pergi seorang diri ke pusara di belakang masjid di mana jasad neneknya disemadikan. Dengan membaca ayat-ayat tertentu yang diajar nenek, dan sebaik saja bilal masjid – pakacil Sulaiman – memulakan laungan kalimah Allahuakbar azan Maghrib, dia menanam sebiji botol dengan muncungnya hala ke bawah di bahagian kepala dan sebiji lagi di bahagian kaki kayu nesan.

Difahamkan, roh yang tersiksa itu akan terperangkap di dalam botol sehinggalah masanya tiba untuk ia meninggalkan kawasan bumi.

Malam itu dan malam-malam seterusnya, keadaan di kampung kami kembali tenang.

Posted in Kenangan di Kampung Banjar | Leave a comment